
Foto: Thread
Penyanyi, Shila Amzah mengambil kesempatan sempena Hari Autisme Sedunia untuk berkongsi luahan istimewa buat anak sulungnya, Seth Uwais yang sebelum ini disahkan berada dalam spektrum autisme.
Advertisement
Menerusi perkongsian di Threads, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila binti Amir Hamzah yang kini berusia 36 tahun melahirkan rasa bangga terhadap perkembangan anaknya yang semakin menunjukkan kemajuan pada usia tujuh tahun.
Katanya, Seth seorang anak yang kuat dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dari hari ke hari.
“Selamat Hari Autisme Sedunia. Mama dan papa sangat bangga dengan Seth Uwais. Ketika ini Seth berada di sekolah.
“Dia semakin berkembang dan kemahirannya juga bertambah baik. Setiap hari dia cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin dan bagi saya, dia memang lakukan yang terbaik,” tulisnya di media sosial.
Dalam masa sama, Shila turut berkongsi bahawa Seth masih dalam fasa belajar memahami dirinya sebagai individu dalam spektrum autisme.
“Dia tidak rasa malu dengan keadaannya, cuma kadang-kadang dia anggap semua orang juga seperti dirinya dan akan bertanya ‘awak autisme tahap berapa?’
“Jadi jangan ambil hati kerana dia masih belajar dan meneroka,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Seth ialah anak hasil perkahwinan Shila bersama bekas suaminya, Haris Idraki Elias. Mereka berkahwin pada 8 Februari 2022 sebelum berpisah selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Shila kemudian mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Rhea Akira yang dilahirkan pada 9 Mei 2024.
Sumber: Threads @shahilaamzah