Skip to main content

Advertisement

Berita

CMCF Ingatkan Orang Ramai Hentikan Perkongsian Video Kemalangan Sensitif, Tekankan Nilai Kemanusiaan

Foto: MCMC

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyeru semua pihak termasuk media dan pengguna media sosial agar lebih beretika dalam berkongsi kandungan berkaitan kemalangan yang melibatkan kecederaan serius atau kematian.

Advertisement

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 3 April, badan itu memaklumkan seruan berkenaan dibuat susulan beberapa insiden yang tular kebelakangan ini, termasuk kes maut seorang penunggang motosikal yang dipercayai dilanggar pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Rakaman kejadian tersebut turut tersebar luas di media sosial.

CMCF menjelaskan bahawa walaupun pelaporan insiden sedemikian penting untuk kesedaran awam dan tujuan akauntabiliti, penyampaiannya perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab, terutama apabila melibatkan visual yang boleh memberi kesan emosi atau menjejaskan maruah mangsa.

"Dalam situasi yang melibatkan kehilangan nyawa, maruah dan sifat ihsan mestilah diutamakan. Apa yang dikongsikan bukan sekadar kandungan semata-mata, tetapi ia merupakan realiti pahit yang dilalui oleh individu dan keluarga yang sedang berdepan kehilangan besar," kata CEO CMCF, Puan Mediha Mahmood.

Menurut CMCF, media perlu menyeimbangkan keperluan menyampaikan maklumat kepada umum dengan pertimbangan etika, khususnya dalam situasi tragis.

Penggunaan imej atau video yang bersifat grafik dan sensasi disifatkan tidak perlu, malah berpotensi menambah tekanan kepada keluarga mangsa serta masyarakat.

"Realitinya, walaupun penonton mungkin melihat kandungan grafik di platform lain, mereka lebih mempercayai institusi yang menunjukkan kawalan diri.Kredibiliti media juga dibina berdasarkan apa yang mereka pilih untuk tidak tunjukkan," kata Mediha.

CMCF turut menegaskan bahawa setiap mangsa harus dihormati, termasuk selepas meninggal dunia. Oleh itu, pengamal media dan pencipta kandungan disaran agar tidak menyiarkan visual yang jelas menunjukkan mangsa atau mendedahkan identiti tanpa alasan editorial yang kukuh.

Pelaporan juga, menurutnya, tidak wajar menjejaskan privasi, maruah dan kesejahteraan individu yang terlibat.

Dalam masa sama, pendekatan berasaskan empati perlu dijadikan asas dalam setiap laporan, dengan penekanan kepada fakta serta mengelakkan unsur sensasi dan spekulasi.

Pendekatan ini dilihat mampu memastikan laporan yang lebih seimbang selain mengurangkan risiko salah tafsir serta tekanan emosi dalam kalangan masyarakat.

CMCF turut menekankan bahawa orang awam memainkan peranan besar dalam era digital hari ini, di mana rakaman kejadian sering dikongsi tanpa mengambil kira kesannya.

Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya lebih berhemah dengan tidak memuat naik kandungan sensitif atau mengerikan, menilai implikasi sebelum berkongsi serta mengutamakan bantuan kepada mangsa berbanding merakam kejadian.

Pendekatan ini selari dengan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menekankan budi bicara serta tanggungjawab dalam penyebaran kandungan sensitif.

CMCF menegaskan bahawa tahap kepercayaan masyarakat terhadap media dan kandungan digital banyak bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab ditunjukkan dalam cara maklumat disampaikan.

Sumber: Content Forum

ERA Muzik Hit Terkini