
Penyanyi bersuara lunak, Wany Hasrita mendedahkan tahun ini sambutan Aidilfitri bakal menjadi lebih istimewa apabila dia merancang untuk beraya di Kuching, Sarawak bersama keluarga sebelah suaminya.
Menurut Wany, pengalaman beraya di bumi Kenyalang itu cukup meriah dan berbeza daripada kebiasaan, malah suasananya boleh dikatakan ‘havoc’ sehingga seminggu lamanya.
Advertisement
“Sebab raya di Kuching memang havoc. Dia memang beraya tujuh hari tujuh malam macam tu” katanya sambil tersenyum ketika ditemui ketika majlis agihan bubur lambuk bersama Astro Audio di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi.
Dalam masa sama, pelantun lagu Menahan Rindu itu turut berkongsi bahawa keputusan lokasi beraya tahun ini sebenarnya dibuat olehnya sendiri.
“Saya yang decide untuk beraya belah suami di Sarawak. Sepatutnya tahun ni beraya belah saya, di Kuala Lumpur. Setelah berbincang dengan ibu saya, kami pilih Kuching sebab nak rasa suasana yang meriah. Ibu saya pun akan ikut beraya di Sarawak” jelasnya.
Walaupun tidak tampil dengan lagu raya baharu pada tahun ini, Wany mengakui dia tidak berasa tercabar dengan kemunculan banyak lagu raya daripada penyanyi lain. Sebaliknya, dia melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif untuk memeriahkan industri muzik tempatan.
“Tolak tepi rasa tercabar, saya sebagai seorang penyanyi mendengar semua lagu yang dikeluarkan, kita raikan sahajalah lagu orang lain kerana cita rasa setiap orang pun berbeza”, katanya.

Gambar: Youtube (Jodoh Lebaran)
Malah, Wany turut berkongsi bahawa antara lagu raya baharu yang menjadi kegemarannya ketika ini ialah Jodoh Lebaran nyanyian penyanyi muda berbakat, Aisha Retno.
“Lagu favourite yang dah melekat di kepala Wany itulah dia, 2, 3 kucing berlari…” ujarnya sambil menyanyikan lagu tersebut.
Nampaknya Aidilfitri tahun ini pasti memberi kenangan manis buat Wany Hasrita apabila dapat merasai kemeriahan raya di Kuching bersama keluarga tercinta.
Video: Instagram (erasarawak)