
Foto: Instagram
Pelakon, Qasrina Karim berkongsi bahawa dia sering diajukan soalan berkaitan jodoh setiap kali bertemu saudara-mara, namun perkara itu tidak memberi tekanan kepadanya.
Advertisement
Menurutnya, pertanyaan seperti itu dianggap sebagai perkara biasa dan sekadar cara untuk memulakan perbualan.
"Ada juga dapat soalan bila hendak kahwin atau sudah ada pasangan atau belum. Tetapi, soalan itu tidak membuatkan saya tertekan, saya okay sahaja.
"Biasalah, kadang-kadang saya fikir mereka tanya sebab mahu ada topik bersembang atau mungkin nak kenalkan dengan seseorang kepada kita, misalnya, anak mereka," katanya ketika ditemui media.
Pelakon berusia 30 tahun itu bagaimanapun menjelaskan dia kini lebih selesa memberi fokus kepada kerjaya berbanding memikirkan soal perkahwinan dalam masa terdekat.
"Hendak kata risau kahwin lambat itu tidak juga. Saya fokus pada kerjaya dahulu. Dalam industri seni, kita keluar awal pagi, balik pun kadang-kadang awal pagi.
"Jadi, saya perlukan seseorang yang istimewa untuk fahami masa kerja saya,"kongsinya.
Dalam pada itu, pelakon drama My Famous Ex-Boyfriend tersebut turut mendedahkan bahawa dia pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga sekitar dua tahun lalu, namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan.
"Sebenarnya. saya merancang untuk kahwin dua tahun lalu, iaitu ketika berumur 28 tahun. Tetapi, kita hanya merancang, Allah yang menentukan," katanya berseloroh